'Pengail' tabung masjid dicekup


Suspek yang dicekup anggota SRS dan AJK masjid di kedai makan di Gong Pauh dibawa ke Masjid Pengkalan Pandan, Chukai.

CHUKAI - Walaupun berjaya meloloskan diri selepas disergah ketika sedang mencuri tabung masjid, namun hanya dalam tempoh dua jam seorang penganggur akhirnya berjaya dicekup hasil kecekapan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Pengkalan Pandan, di sini, awal pagi kelmarin.

Suspek berusia 27 tahun yang juga penagih dadah jenis pil kuda ditangkap kira-kira jam 3 pagi selepas memecah masuk Masjid Pengkalan Pandan lebih kurang jam 1 pagi.

Perbuatan suspek yang menceroboh masuk masjid disedari empat anggota SRS kampung itu yang sedang melakukan rondaan apabila ternampak kelibat lelaki di dalam masjid yang berkunci sebelum mereka mengarahkan suspek menyerah diri.

Timbalan Pengerusi SRS Pengkalan Pandan, Kamri Ngah berkata, suspek pada awalnya berjaya melarikan diri, bagaimanapun dia tidak sempat mengambil motosikal yang dinaiki diletakkan di pekarangan masjid.

“Kita berusaha cari maklumat pemilik motosikal itu dengan pihak polis trafik dan berjaya mendapatkan alamat tuan punya motosikal tersebut yang beralamat di Kerteh sebelum dua AJK masjid berjumpa dengan pemilik.

“Tapi rupa-rupanya motosikalnya dipinjam rakannya yang tinggal di Gong Pauh, Chukai. Dengan bantuan pemilik motosikal itu kita berjaya kesan suspek di sebuah kedai makan di Gong Pauh, namun sebaik menyedari kehadiran pihak SRS dan AJK masjid, lelaki itu sekali lagi cuba melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, suspek akhirnya berjaya diberkas sebelum dibawa ke Masjid Pengkalan Pandan.

Selepas disoal, suspek mengaku dia memecah masuk masjid itu bersama dengan seorang lagi rakannya berusia lingkungan 20-an dan sempat mengambil wang sebanyak RM40 dari dalam tabung masjid.

Rakan suspek yang bertubuh kurus masuk ke dalam masjid dengan membengkokkan batang besi tingkap cermin nako sebelum membuka pintu masjid dari dalam untuk membolehkannya masuk ke dalam masjid.

Kamri berkata, suspek mengaku sudah banyak kali 'mengail' tabung di masjid lain sekitar Kemaman selain di Masjid Pengkalan Pandan.

Suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan laporan polis dibuat di Balai Polis Chukai oleh pihak SRS.