Anak Pramugari Mangsa Sebaran Cerita Palsu


Kuala Lumpur – Ketika rakyat Malaysia sedang berkabung masih wujud segelitir individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan cerita palsu mengenai keluarga mangsa nahas penerbangan MH17 di laman sosial.

Mangsa terbaru manipulasi laman sosial itu ialah anak kanak-kanak lelaki yang dilaporkan kononnya begitu sedih sehingga mahu membuka bendera Malaysia digunakan untuk menyelubungi keranda pramugari MAS Mastura Mustafa bagi melihat wajah ibunya, tersebar luas di beberapa media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.

Menurut cerita yang disebarkan ini, anak lelaki tunggal arwah, Muhriz Marzaidi, 10, dikatakan merintih mahu menatap wajah ibunya dan merayu-rayu meminta keranda dibuka walaupun sedikit supaya dapat mencium pipi ibunya.

Namun, beberapa wartawan termasuk Harian Metro yang mengikuti pengebumian dari rumah sehingga ke kubur berkata, insiden itu tidak berlaku dan disyaki rekaan semata-mata.